Senaman Tua : Warisan Senaman Melayu Yang Mengkagumkan


Senaman Tua diasaskan oleh Guru Azlan Ghanie (gambar) yang juga pengasas Silat Melayu Keris Lok 9. Senaman Tua adalah hasil daripada kajian beliau ke atas senaman tradisi budaya Melayu yang dipelajari daripada ayahnya, Allahyarham Abdul Ghanie Abu Bakar. Ayah beliau merupakan keturunan dari Datu Patinggi Abang Borhassan iaitu Raja Melayu Sarawak - Merpati Jepang.
Bonda beliau Hjh Rogayah Jaafar pula dari keturunan Panglima Endut (salah seorang Panglima Istana di Pahang) berdarah Bugis dan Maharaja Perba Jelai.

Dalam kerjayanya sebagai seorang wartawan dan pengasas majalah PENDEKAR dan SENI BELADIRI, beliau meneruskan kajiannya dengan merisik kepada lebih 200 guru silat dan pakar perubatan tradisi Melayu selama lebih 20 tahun.

Walaupun berpeluang mengkaji senaman ini dengan lebih mendalam, tetapi beliau hanya nekad melakukannya setelah mengalami serangan angin ahmar sehingga lumpuh separuh badan pada awal 1990-an. Menggunakan kaedah nafas yang diperturunkan Allahyarham ayahnya, Azlan berjaya memulihkan dirinya sehingga disahkan sihat.

VIDEO PENGENALAN SENAMAN TUA OLEH GURU AZLAN GHANIE


SEDIKIT KISAH KEHEBATAN SENAMAN TUA

Pada tahun 2002, seorang guru Kali bernama guro Omar Hakim dari Amerika Syarikat yang bertugas di Kuala Lumpur menghubungi guru Azlan Ghanie dengan niat berkenalan di samping mempelajari silat. Menurutnya, beliau berminat mempelajari sejenis silat di Malaysia.

Walaupun permohonan rasminya menuntut silat itu ditolak atas alasan perguruan itu sendiri, guro Omar terus memburu silat untuk dipelajari, sehingga berjaya mencapai tahap jurulatih dalam Silat Kuntau Tekpi dan beberapa tahun kemudian, Silat Kalimah.

Beliau turut menuntut Silat Melayu Keris Lok 9, tetapi tidak lama, dan mungkin tidak begitu menepati seleranya. Namun, yang menarik minatnya adalah Senaman Tua. Katanya, senaman ini begitu advanced, hinggakan kaedah nafas dan konsep senaman yang ada padanya jarang ditemui di dunia Barat, melainkan daripada beberapa tokoh sahaja.

Apabila beliau pulang ke Amerika, beliau mengasaskan Silat Kuntau Tekpi USA dan membawa sekali Senaman Tua. Walaupun beliau tidak bertauliah jurulatih (itu sebelum zaman lesen bertauliah), tetapi beliau gigih menghidupkannya dalam pengajaran silat dan kalinya. Nampak benar ada kesan kepada murid-muridnya.

Pada tahun 2005, ketika saya mengalami pengangguran kerja selama enam bulan, saya mula menghabiskan masa di kafe internet bagi mencari kerja dan aktif di forum beladiri. Dalam menukil-nukil di papan kekunci, saya berkenalan dengan seorang pesilat Kuntau Tekpi USA bernama Phil Ledgerwood dan melaluinya, gurunya, cikgu muda Jeff Davidson. Asalnya, kami bertukar-tukar emel, tetapi akhirnya lebih rancak berbincang di Yahoo Messenger.

Jeff, juga dikenali sebagai Jaafar ibn Daud adalah guru muda Silat Kuntau Tekpi dan Kali Pekiti Tirsia. Beliau juga sering dijemput pasukan polis Detroit untuk mengisi silibus pertahanan jalanan pihak berkuasa yang dikenali sebagai Defensive Tactics. Beliau sudah menuntut pelbagai jenis seni beladiri Asia dan Afrika dan kini mengajar kelas beladiri di rumahnya.


Jeff mengajar taktik pertahanan diri menggunakan silat dan pistol
Beliau mula bertanya-tanya mengenai silat di Malaysia khususnya mengenai Kuntau Tekpi kerana kami seperguruan. Tetapi, lama-kelamaan, persahabatan kami berubah menjadi persaudaraan yang cukup erat, dan walaupun belum pernah bertemu berhadapan, tetapi terasa sungguh perhubungan keIslaman, persilatan dan kemanusiaan yang utuh.

Namun, setelah beberapa lama berbincangan mengenai, Jeff mula bertanya mengenai Senaman Tua, kerana dirasakan tidak mencukupi apa yang diterima daripada guro Omar. Guru Omar sendiri 'mengisi tempat kosong' dengan pengalaman lamanya dalam dunia seni beladiri. Hasilnya, Senaman Tua yang diajar di USA tidak sama dengan Senaman Tua di Malaysia.

Sebagai pembuka bicara, saya bertanyakan kepada Jeff, apakah lingkup Senaman Tua yang diterimanya. Cukup terkejut. Nafas yang diajar adalah salah (atau berlainan dari yang diajar guru Azlan). Gerakan senaman pula banyak yang singkat, tidak lengkap atau salah posisinya. Disebabkan kasihnya saya kepada saudara saya itu, saya mula membetulkan sedikit demi sedikit ilmu yang diterimanya, melalui chat! Mungkin juga perlakuan kami itu adalah kejadian belajar Senaman Tua jarak jauh terawal di dunia secara elektronik!

Apabila saya menurunkan Nafas Melayu yang tepat, di sebelah dunia sana, Jeff menulis bahawa terus beliau merasakan perbezaannya daripada kaedah nafas yang diterima, dan apabila saya menetap dan menepat gerakan senamannya, baru terasa impak yang sepatutnya. Beliau cukup-cukup berterima kasih, namun saya sentiasa mengingatkan bahawa ilmu itu bukan milik saya, tetapi adalah usaha kajian dan susunan guru Azlan Ghanie. Beliau akur.

Saya juga mengingatkan bahawa Senaman Tua belum lagi rasmi dibawa ke USA, kerana guru Omar sendiri tidak terlesen di bawah sistem baru kejurulatihan. Segala apa Senaman Tua yang diajar di sana oleh Jeff hanya diiktiraf saya sendiri, bukan guru Azlan dan bukan oleh badan kawalan Senaman Tua di Malaysia. Beliau tetap akur dengan maksud, bila-bila sahaja beliau mungkin menerima surat rasmi daripada guru Azlan untuk berhenti mengajar Senaman Tua. Tetapi, kata saya, selagi itu belum berlaku, amalkanlah sendiri dan ajarkanlah kepada keluarga dan muridnya.

Hasilnya cukup menakjubkan. Kegigihan Jeff, keterbukaannya belajar (walaupun umurnya jauh melangkaui saya sendiri) dan keikhlasannya menyampaikan ilmu mendapat sambutan hangat daripada murid-muridnya sendiri. Buktinya seringkali dipaparkan di blog beliau Balisong Journal. Saya sempat kutip beberapa emel yang dikirim kepadanya oleh muridnya:

Testimonial Senaman Tua dari USA
Senaman Tua saves another student
Senaman Tua - Another satisfied client!

Malah, sebelum murid-muridnya, Jeff sendiri menulis dalam blognya bahawa:

"In response to numerous requests from my students for more information on Senaman Tua, I offer the following brief explanation... As anyone who has been put into at least one full-body lock from Cekak or Silat Kuntau Tekpi can attest, it is murder on the joints. I liken Senaman Tua to 'yoga' for the joints. We have been doing it for 7 months, and I have seen remarkable results in my students strength and flexibility.

"By way of a personal testimony, in the summer of 2004 I tore the ACL in my right knee during a dumog match. After 3 months of physical therapy I decided not to have surgery, but the knee was obviously not fully functional. I learned Senaman Tua from Omar Hakim in April of 2005, and after a rigorous program of x2 per week for an hour my knee was stronger than it was before the tear - by July!"


Dalam buku Senaman Melayu Tua, terdapat berpuluh testimonial daripada orang Malaysia mengenai keberkesanan Senaman Tua dan saya sendiri tidak sempat memasukkan testimonial-testimonial daripada Jeff dan murid-muridnya dalam buku itu (juga kerana status Senaman Tua yang tidak rasmi di sana), tetapi hakikatnya, Senaman Tua sudah sampai ke luar negara, sudah melepasi ujian akal dan praktikal orang Amerika (manusia yang paling pengkritik dalam bab-bab seni beladiri tradisional) dan menerima pengiktirafan daripada kerajaan Malaysia sebagai rawatan alternatif.

Sehingga kini, Jeff masih lagi berlatih dan mengajar Senaman Tua, dan masih bersahabat rapat dengan saya. Satu hari nanti, kami pasti akan bersua muka, dan tibalah pula masa saya menuntut daripadanya.

TESTIMONI : SENAMAN TUA & LEUKIMIA

0 Komentar untuk "Senaman Tua : Warisan Senaman Melayu Yang Mengkagumkan"

Dikuasakan oleh Blogger.
 
Copyright © 2014 Rasa Kami - All Rights Reserved
Template By Catatan Info